Menanam Pohon Kebaikan

March052013

Menanam Pohon Kebaikan

wallpaper43.jpg

Assalamualaikum wr. wb.
Seorang lelaki tua mempunyai kedut seribu. Ototnya lemah didera zaman. Tangannya terketar-ketar menanam sepohon pokok buah.

"Pak cik, pak cik buat apa?" tegur seorang lelaki muda.

Antara dengar dengan tidak, lelaki tua itu berpaling dan kemudian meneruskan kerjanya.

Lelaki itu meneliti pokok yang ditanam oleh lelaki tua. "Pokok macam ini perlukan masa berpuluh-puluh tahun baru berbuah. Umur pak cik bukannya boleh bertahan lama lagi." sindir lelaki muda.

Cuk! Cuk! Bunyi cangkul si lelaki tua mengambus akar pokok. Lalu, ditekan-tekan dengan kakinya agar menjadi padat.

"Pak cik kan dah tua. Kubur kata mari, rumah kata pergi. Buat apa bersusah payah menanam pokok ini? Bukankah sia-sia saja kerja pak cik?" Si lelaki muda gagal membaca hikmah daripada perlakuan lelaki tua itu lalu pantas menghukum.

Agar Pahala Tidak Putus

Lebih kurang begitulah situasi yang pernah dialami oleh seorang sahabat Nabi bernama Abu al-Darda'. Di penghujung usia, beliau tidak lupa meninggalkan pusaka terbaik untuk anak dan cucunya. Beliau bersusah payah menanam pokok buat mereka.

Apabila ditanya, beliau menjawab : "Apa salahnya kalau saya memperoleh pahala kerana perbuatan saya dan orang lain mendapat kebaikan daripada buah pokok tersebut?"

Begitu juga yang dilakukan sahabat lain. Tekun menanam pokok pada usia senja. Memikirkan kemaslahatan generasi masa depan.

Apabila ditanya, beliau menjawab : "Orang yang terlebih dahulu daripada kita telah menanam untuk kita. Kita telah memakan buahnya. Sekarang, kita menanam supaya orang yang terkemudian dapat memakannya."

Jasanya terus hidup sesudah jasadnya mati. Amalannya meninggalkan manfaat dari zaman ke zaman. Ilmunya dinikmati generasi demi generasi. Sedekahnya dimakan oleh ramai orang. Pahalanya berkekalan. Tidak putus-putus.

Inilah kelebihan orang yang menghargai masanya. Tidak kira masa muda atau tua. Yang mereka fikirkan setiap hari ialah cara untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Antara Dua Pilihan

Seorang wanita diperkosa. Dia berhadapan dengan dua pilihan. Pilihan yang bakal menggelapkan atau mencerahkan masa depannya.

1. Terus mengikat dirinya dengan kisah hitam itu. Menghina dan menyalahkan dirinya yang tidak bersalah. Membiarkan diri "diterajang" berkali-kali oleh trauma seumur hidup.
2. Membuat laporan polis. Bangkit dan terus majukan diri. Usah ceritakan kisahnya kepada sesiapa. Beri peluang kepada diri sendiri untuk bahagia.

Seorang lelaki dibuang kerja. Dia turut akan berhadapan dengan dua pilihan, sama ada yang bakal menjadikan masa depannya gelap atau memberi sinar dalam hidupnya.

1. Menghukum diri sebagai lelaki tidak berguna. Menghisap berkotak-kotak rokok sehari untuk mencari ketenangan.
2. Positif dengan cabaran hidup. Jangan tunggu esok. Bermula hari ini juga terus mencari kerja baru yang lebih sesuai.

Sama ada kita memilih pilihan 1 atau 2, masa tetap berlalu meninggalkan kita. Sehingga satu waktu, masa "menghantar" kita kepada Pencipta. Memindahkan kita ke alam abadi. Suatu alam yang sangat memerlukan bekalan untuk satu perjalanan jauh.

Jika pilihan buruk yang kita pilih, kita akan merasai pembalasan sejak di dunia, apatah lagi di sana. Waktu itu, barulah setiap manusia akan tahu. Biar getir mana pun ujian, masa tetap berjalan. Kita tetap perlu mempunyai saham daripada perkara yang bermanfaat dalam hidup ini. Jika tidak, bagaimana kita mempunyai survival untuk perjalanan abadi?

Boleh Bersedih, Jangan Bersedih-sedih

Anda bersedih? Tidak mengapa, menangislah. Itu lumrah dan perkara normal. Air mata boleh mengubat duka. Air mata boleh menjadi terapi jiwa. Menangislah di sisi Pencipta.

Tetapi, usah bersedih-sedih. Berapa banyak lagi air mata anda perlu dialirkan? Berapa banyak lagi masa perlu dibazirkan? Peristiwa yang menyedihkan itu telah berlalu. Hidup anda mesti diteruskan. Masa tidak pernah berhenti. Masa akan terus pergi. Anda perlu cepat bangun!

Fajar terus menyinsing. Fajar baru terus menjelma. Malam dan siang bertukar ganti. Harmoni bekerja tanpa henti. Masa yang ada adalah satu amanah, nikmat dan ujian kepada kita sama ada untuk dimanfaatkan atau diabaikan.

Tanamlah "pohon" kebaikan buat umat hari ini sebelum tiba alam yang tiada lagi masa dan ruang. Jangan biarkan kesedihan terus menghalang kita daripada berproduktiviti. Tanamlah pohon pahala hari ini.

Umar bin Abdul Aziz berkata : "Malam dan siang, kedua-duanya berkerja untuk kamu. Maka, bekerjalah kamu dalam masa kedua-duanya."

Prof. Syeikh al-Qaradawi berpujangga dalam bukunya Imam dan Kehidupan bahawa fajar dan mentari seakan berkata :
"Wahai manusia, aku makhluk baru. Menjadi saksi perbuatanmu. Oleh sebab itu, gunakan aku untuk keperluanmu. Ambillah aku untuk kesempatan melakukan perbuatan baik. Apabila aku telah pergi, aku takkan kembali lagi selama-lamanya."

Hentikan Rutin Sia-sia
Tegakah kita menjadikan hari kita berlalu dengan sia-sia? Sanggupkah kita bangun pagi tanpa apa-apa perancangan? Mahukah kita membiarkan satu hari berlalu tanpa bekerja dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat?

Kerja hari untuk hari ini. Kerja esok untuk esok. Jika ditangguhkan kerja hari ini kepada esok, maka kerja esok pula bagaimana? Adakah berkualiti kerja beberapa hari lalu dilakukan dalam masa sehari?

Hidup ini ada misi. Hidup ini akan kembali kepada Ilahi. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Hari esok mesti lebih bermanfaat dari hari ini.

Hari semalam telah berlalu selama-lamanya. Hari esok belum tentu milik kita. Yang kita miliki cuma hari ini. Mari mulakan hidup kita pada hari ini dengan perancangan. Jadikan rutin hidup kita pada hari ini bernilai dan penting. Mari sama-sama fikirkan, apakah "pokok" pahala yang boleh kita bangunkan pada hari ini?

Fatimah Syarha Mohd. Noordin

Majalah Solusi isu 51

Share on Facebook Share on Twitter

Comments

No comments yet. Why not make the first one!

New Comment

[Sign In]
Name:

Comment:
(You can use BBCode)

Security:
Enable Images


 
Back to Top